Khamis, Januari 01, 2009

Hasyuda Abadi Bertemu Datuk Haji Nasir Tun Sakaran


SEBAGAI bahagian ahli masyarakat, para pemimpin juga peka terhadap perkembangan sastera dan budaya bangsanya. Masa yang telah terisi oleh kesibukan melayani keperluan rakyat tidak dijadikan alasan bahawa mereka buta sastera. Setidak-tidaknya memberi galakan sastera kepada ahli keluarga seperti membeli buku atau keperluan-keperluan berkaitan. Kepekaan para pemimpin ini menjadi lebih bermakna apabila mampu meningkatkan upaya menjana mata fikir generasi membangunkan kehidupan menerusi sastera dan budaya itu yang mereka sendiri minati. Mereka berpendapat menerusi pelbagai aktiviti sastera dan budaya yang dianjurkan mampu dijadikan asas bernas ke arah pembentukan modal insan yang murni serta memberi kesan positif khususnya kepada generasi muda. Program Penghayatan Sastera dan Budaya di kem-kem Latihan Khidmat Negara dan program Islam Hadhari merupakan contoh program yang dimaksudkan. Di samping itu, peranan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan para penulis tidak harus dipandang ringan dalam usaha mereka memelihara kemurnian Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan. Intipati ini terluah dalam pertemuan wakil Jendela Sabah, Hasyuda Abadi (HA) dengan Yang Berhormat Datuk Haji Nasir Tun Haji Sakaran (NS) Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Senallang, Semporna. Datuk Nasir turut merungkai cabaran yang harus ditatang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di Sabah selepas 50 tahun kemerdekaan Negara.

HA: Apakah Datuk minat membaca buku-buku sastera?

NS: Membaca merupakan aktiviti yang sangat bermanfaat dan setiap orang hendaklah berusaha memupuk minat membaca buku-buku sastera seperti novel. Bagi kalangan pemimpin, khususnya seperti saya seorang anggota pentadbiran kerajaan Negeri dan juga Ahli Yang Berhormat yang sepanjang masa sibuk dengan tugas, masa untuk membaca memang agak terhad. Akan tetapi pada kesempatan yang ada, saya membaca buku-buku berbentuk riwayat hidup tokoh-tokoh dan dokumentasi perjuangan, agama dan politik.

HA: Bagaimana pula dengan keluarga Datuk?

NS: Saya mempunyai lima orang anak yang memang sejak kecil telah ditanamkan dengan minat membaca. Novel menjadi salah satu bahan bacaan yang mereka minati.

HA: Mungkin Datuk mempunyai cara tersendiri bagaimana pemupukan minat membaca seharusnya menjadi amalan setiap keluarga dalam masyarakat kita?

NS: Salah satu daripada kaedah saya memupuk minat membaca di kalangan anak-anak ialah dengan mengunjungi kedai-kedai buku setiap kali membawa keluarga bersiar-siar di gedung beli belah atau pasar raya. Apabila melakukan tugasan rasmi dan bermesyuarat di Kuala Lumpur atau di luar negara, salah satu daripada buah tangan yang akan saya bawa pulang ialah bahan bacaan, tidak kira sama ada ianya novel atau majalah.

HA: Novel ataupun cerpen ialah sebuah rakaman kehidupan manusia yang dipindahkan dalam bentuk kreatif agar menarik dibaca dan mesejnya mudah disampaikan kepada masyarakat pembaca. Pada pandangan Datuk, bagaimanakah para penulis yang disifatkan sebagai modal insan ini dapat membantu sejajar dengan usaha Kerajaan membangunkan Negara?

NS: Kreativiti seseorang penulis perlu dipelbagaikan mengikut keadaan semasa. Selain daripada dapat menyajikan sebuah kisah yang menarik, ia juga membolehkan masyarakat sentiasa peka kepada isu-isu semasa. Dalam hal ini tema cerita hendaklah bersifat terkini. Plot ceritanya juga perlu mudah difahami dan banyak menggunakan sketsa kehidupan yang sebenar. Dengan itu, ia akan dapat menerapkan nilai-nilai murni dan jati diri positif yang boleh dipelajari oleh para pembaca. Akhirnya matlamat melahirkan modal insan berkualiti dapat dicapai menerusi pembacaan bahan-bahan ilmiah ini.

HA: Apakah Datuk fikir perlu diwujudkan sebuah badan penerbitan buku-buku seperti novel, majalah atau kajian berkaitan sastera dan budaya di Negeri ini supaya peluang para penulis menghasilkan karya mereka lebih luas?

NS: Walaupun tidak mempunyai jabatan atau agensi yang khusus dalam memantau perkembangan atau keperluan bahan-bahan bacaan, namun kerajaan Negeri memberikan sokongan berterusan kepada usaha penerbitan buku-buku berkaitan sastera dan budaya melalui peranan Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Muzium, Jabatan Arkib Negeri, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan pelbagai jabatan serta agensi berkaitan di Sabah.

HA: Karya-karya sastera berunsur Islam juga menjadi salah satu kecenderungan para penulis di Sabah. Apakah saranan Datuk agar kecenderungan tersebut dapat dilestarikan dengan pendekatan Islam Hadhari ketika memaparkan nilai-nilai sejagat dalam karya mereka?

NS: Tahun 2007 merupakan tahun bagi pelaksanaan Islam Hadhari. Dalam hubungan ini, cerita-cerita atau karya-karya yang banyak menonjolkan prinsip-prinsip Islam Hadhari wajar diketengahkan. Dalam prinsip berkaitan dengan memperkasakan ilmu pengetahuan umpamanya, cerita itu hendaklah menjurus kepada kelebihan memiliki ilmu yang akan membawa kejayaan hidup di dunia dan kecemerlangan di akhirat.

HA: Budaya juga tidak dapat dinafikan lahir daripada kehidupan. Cara hidup kita mencerminkan sesebuah budaya sedang dialami. Dalam hubungan budaya dengan masyarakat setempat bagaimanakah peranan etnik-etnik tempatan dapat merealisasikan pembentukan sebuah Negara bangsa yang disegani bangsa-bangsa di dunia?

NS: Dewasa ini terdapat perkembangan positif dari kalangan penulis berasal dari Sabah. Secara langsung mesej atau latar cerita yang diangkat ialah yang berkisar kepada kehidupan masyarakat etnik negeri ini. Walau bagaimanapun garapan cerita mereka itu perlu bersifat universal yakni boleh diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa. Minat audiens atau pembaca dari luar negara perlu diperolehi, barulah ia berupaya menonjolkan kekuatan bangsa Malaysia.

HA: Salah satu program kerajaan untuk memberikan kekuatan bangsa kita ialah menerusi Program Penghayatan Sastera dan Budaya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di mana nilai-nilai pemupukan cintakan Negara disalurkan kepada generasi muda. Sejauh mana program ini boleh dimanfaatkan oleh golongan berkenaan?

NS: Program yang berteraskan penghayatan sastera dan budaya dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan salah satu teras latihan yang dijalankan di PLKN. Saya percaya pergaulan mesra yang sentiasa diceriakan dengan aktiviti-aktiviti berkumpulan akan lebih mengeratkan lagi integrasi di kalangan anak-anak muda pelbagai keturunan dan strata hidup serta agama. Sememangnya program ini memberi manfaat yang besar kepada usaha memupuk semangat cintakan Negara.

HA: Kesedaran masyarakat terhadap pentingnya Bahasa Melayu dalam apa juga bidang masih pada tahap minimum terutama sekali di kawasan yang jauh dari bandar. Contohnya masih ada papan-papan tanda yang mengalami kesalahan ejaan dan sebagainya. Sebagai orang bertanggungjawab terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sabah, apakah komen atau saranan Datuk untuk menangani perkara ini?

NS: Bahasa Melayu memang telah lama menjadi asas perhubungan kepada masyarakat Malaysia. Ketirisan Bahasa Melayu di kawasan luar bandar tidaklah begitu besar cacatnya. Dengan pendekatan Kementerian Pelajaran Malaysia menggerakkan pembangunan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar pasti akan mengatasi kelemahan Bahasa Melayu ini. Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis-majlis Daerah mempunyai bidang kuasa dalam menguatkuasakan agar kesalahan ejaan ini dapat dielakkan. Kesedaran ini masih baru dan berlaku kemajuan dalam mempastikan papan tanda tidak mengalami kesalahan ejaan. Selain itu, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) perlu memainkan peranan yang sama dalam menimbulkan kesedaran di kalangan orang awam. Sokongan mereka dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pemerkasaan Bahasa Melayu perlu dipelbagaikan dan diperhebatkan.

HA: Tahun 2007 merupakan detik penting bagi Negara kita yang akan merayakan Jubli Emas Kemerdekaan. Sebagai mengisi detik-detik penting ini dan zaman mendatang, apakah harapan Datuk terhadap peranan dan tanggungjawab DBP yang semakin mencabar dalam pembinaan bahasa dan sastera kita khususnya di Sabah?

NS: 31 Ogos 2007 menandakan Negara sudah merdeka selama 50 tahun lamanya. Selama tempoh kemerdekaan itu, telah banyak kemajuan dari segi pembangunan prasarana dilakukan oleh para pemimpin kita. Sekarang kita sedang melangkah masuk ke era globalisasi yang jika tidak diharungi dengan cukup persiapan akan menenggelamkan bahasa dan sastera bangsa yang telah bertahan selama 50 tahun setelah ia hampir dikuburkan pada 50 tahun yang lalu. Dalam hubungan ini DBP perlu merancang strategi yang mengarah kepada usaha menangkis serangan anasir yang ingin merosakkan bahasa dan sastera, khususnya menerusi medium teknologi maklumat. Sebagai contoh, jika seseorang itu tidak mesra IT dan tidak berhati-hati atau prihatin kepada penulisannya melalui komputer, ia akan mendapati bahawa berlaku keselahan ejaan disebabkan oleh komputer yang digunakan telah diprogramkan menggunakan bahasa Inggeris. Sastera asing yang melampau juga perlu ditapis daripada dengan begitu mudah menjadi bacaan masyarakat kita. Untuk itu perlu ada strategi berkaitan dengan perkara ini direkabentuk oleh pihak DBP.

BIODATA

DATUK Haji Nasir Tun Haji Sakaran dilahirkan di Semporna pada 20 Ogos 1953. Beliau merupakan anak ketiga Tun Haji Sakaran Dandai, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-8. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajjah Rokiah Haji Badar pada tahun 1978 dan telah dikurniakan lima orang cahaya mata.

Datuk Haji Nasir memulakan persekolahannya di Government Primary School Semporna (sekarang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna) pada tahun 1964 sehingga darjah lima. Pada tahun 1969 beliau berpindah ke Sekolah Rendah St. Patrick Tawau dan seterusnya ke Sekolah Menengah St. Patrick Tawau pada tahun 1970-1973 sebelum berhijrah ke Maktab Sabah, Kota Kinabalu. Bagaimanapun jangka masa persekolahan di sekolah ini tidak lama kerana menerima tawaran belajar di peringkat ‘A’ dan ‘O’ Level di London. Selepas itu Datuk Haji Nasir meneruskan pengajiannya di Taylor College dan Cyme College Kuala Lumpur sebelum melanjutkan lagi pelajarannya di University of San Francisco Amerika Syarikat.

Selepas memperolehi B.A. in Government and History dari University of San Francisco pada tahun 1980, beliau kembali ke Sabah. Beliau mengusahakan perusahaan sendiri sebagai peraih ikan di Kota Kinabalu. Pada tahun 1981 hingga 1985 Datuk Haji Nasir berkhidmat pula sebagai Pengurus Besar sebuah ladang kelapa sawit iaitu Ladang Sabdi Sdn Bhd. Namun begitu, pada tahun 1985, beliau beralih semula kepada perusahaan yang pernah diceburinya sebelum ini tetapi bukan sebagai peraih tetapi sebagai nakhoda kapal laut dalam. Disebabkan pelbagai masalah dan dugaan seperti berhadapan dengan pihak berkuasa perairan Negara jiran Indonesia yang menimbulkan kerisauan anak-anak kapalnya dan kos pembaikan enjin serta peralatan perkapalan yang agak tinggi, akhirnya pada penghujung tahun 1987, Datuk Haji Nasir kembali semula secara sepenuh masa mengurus Ladang Sabdi Sdn Bhd.

Pada bulan Disember 1980 ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) kawasan Sulabayan, beliau telah dipilih sebagai calon dan seterusnya memenangi kerusi DUN berkenaan atas tiket BN-USNO. Beliau menggantikan ayahnya yang telah melepaskan kerusi kawasan tersebut. Ketika itu kerajaan negeri Sabah diperintah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS). Datuk Haji Nasir meneruskan perniagaannya sebagai pembekal bahan makanan mentah dan bermasak sehinggalah pada tahun 1994 apabila negeri Sabah ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Penerbangan Sabah selepas memenangi semula kawasan DUN Sulabayan dalam Pilihan Raya Umun DUN tahun berkenaan. Bermula daripada detik itu Datuk Haji Nasir menghentikan urusan perniagaannya bagi membolehkan beliau memberikan tumpuan sepenuh masa kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Yang Berhomat.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Perusahaan semasa kerajaan Negeri Sabah ditadbir oleh tiga Ketua Menteri iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said disusuli Yang Berhormat Datuk Yong Teck Lee dan Yang Berhormat Tan Sri Bernard Dompok. Pada tahun 1999, beliau terus unggul memenangi kerusi DUN Sabah tetapi menerusi kawasan DUN yang baru diwujudkan iaitu Senallang. Di bawah kabinet Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam ketika itu, beliau telah dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan Sabah sehinggalah di era pentadbiran Yang Berhormat Datuk Chong Kah Kiat. Selepas pilihan raya umum pada tahun 2004 yang mengekalkan Datuk Nasir sebagai ADUN Senallang, beliau dilantik Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HADIAH SASTERA SABAH

KATEGORI: NOVEL DEWASA 1988/1989          DUKANYA ABADI                            Azmah Nordin 1992/1993          DARI DALAM CERMIN ...