Sabtu, Mei 14, 2011

Bercerita dan Berjuang



TIADA salahnya andai program sastera diadakan dalam skala yang kecil tetapi berterusan. Setuju dengan saran Profesor Sahlan Mohd Saman dalam sebuah pertemuan penulis, menyebut bahawa sebuah hadiah yang besar tidak praktikal jika ia dilakukan sekali seumur hidup berbanding jumlah yang kecil tetapi berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi.

Namun ia perlulah dirancang, terancang mengikut keperluannya, barulah akhirnya sampai kepada matlamat. Jika tidak, sama sahaja. Berjuang tanpa juang, samalah berapi membakar hujah malangnya terbakar sendiri menjadi debu akhirnya berterbangan di angkasa entah ke mana!

Bercerita dan berjuang, dua kata yang sepatutnya sinonim dalam usaha mengangkat maruah sastera Melayu kita. Kita berkisah tentang bangsa kita yang sentiasa dipandang kecil apabila melihat kedaifan kita sebagai pengarang. Padahal pengarang mempunyai dimensi yang hebat dalam memperkatakan fikirannya. Kemudian berjuang, memperjuangkan kebenaran apa yang difikirkannya baik buat bangsanya. Malang sekali, dua faktor ini hanya merupakan hiasan pihak-pihak yang meneguk di air keruh. Berbasa-basi memperkatakan tentang sastera namun pada masa yang lain mengambil mudah apabila meletakkan sastera dan para pendudukungnya pada tempat yang kurang wajar.

Ahli sukan negara lebih mulia berbanding seorang sasterawan yang banyak berfikir. Siapakah yang lebih mengukir jasa antara dua jaguh sukan dan sastera? Antara nama dan fikrah, sudah tentu ramai yang meletakkan sukan berbanding sebuah novel. Orang lebih melihat pada kelajuan lari, tangkas meraih piala. Orang sanggup berbaris membeli tiket di stadium berbanding undangan percuma sebuah persembahan teater, misalnya. Orang sanggup menghabiskan wang menghantar SMS untuk sebuah program realiti berbanding membeli buku.

Nilai jati diri masyarakat kita tidak mudah diubah. Mereka mudah berubah tetapi perubahan budaya atau cara hidup mereka lebih cenderung kepada cara hidup yang mewah, berliburan tanpa batasan. Inilah pilihan mereka.

Bagi penulis, mereka perlu memiliki jiwa yang besar. Hadapilah dunia nyata kini dengan semangat yang kuat. Memang diakui wujud perbezaan yang ketara antara dahulu dan sekarang. Perjuangan sastera dahulu dan sekarang mengalami perbezaan sentuhan. Perjuangan tetap wujud tetapi tanpa sentuhan yang berkesan. Persepsi masyarakat sudah tidak begitu kelihatan. Kurang berhujah apatah lagi berani menyanggah apabila masyarakat telah dibiasakan oleh pesta yang tidak menguji minda. Diadakan program besar tetapi impaknya tidak kekal. Baca puisi berhari-hari tanpa henti, apa impaknya kepada sastera itu sendiri selain penobatan yang akan berakhir bila-bila masa. Sastera menjadi bukan apa-apa. Sastera terpisah, dipisahkan dengan tanggapan kuasa tidak terletak pada kata-kata indah yang berlapis makna, kuasa tidak terletak pada sahsiah jiwa yang membara.

Akhirnya terjelmalah insan yang kasar, lupa akar budaya dan tonggak budi, mencipta api untuk menjadi lebih rakus. Jika mencipta pantun, pantunnya tidak lagi berpaut pada langgam yang indah, sajaknya tidak lagi membentuk metafora yang bermata makna, tidak lagi peduli betapa irama syair telah menyebabkan seni irama yang merangsang jiwa yang halus. Suara penyair dipimpin oleh ragam amarah hingga enggan mengirim sebarang kebenaran kepada sasaran. Penulis sudah tak terbimbing lagi. Mereka bangun semulajadi tetapi tidak terarah. Penulis lahir sendiri bagai anak kehilangan ibunya.

Memiliki jiwa yang besar tidak patut melahirkan penulis yang cepat terluka dan mudah naik darah. Para penulis wajar melihat semua ini dengan pandangan yang jujur. Tanpa berhenti untuk bercerita dan berjuang walaupun di hadapan mereka ranjau cabaran, kerenah manusia yang tidak pernah putus asa untuk menyebabkan orang lain jatuh susah dan kerenah manusia yang bodoh sombong, angkuh dan ego. Semua ini asam garam peristiwa yang berlangsung dan harus diharungi.

Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HADIAH SASTERA SABAH

KATEGORI: NOVEL DEWASA 1988/1989          DUKANYA ABADI                            Azmah Nordin 1992/1993          DARI DALAM CERMIN ...